Main Article Content
Abstract
Pembangunan komuniti dianggap sebagai strategi terpenting untuk menerapkan nilai-nilai murni bermasyarakat bagi menangani isu-isu sosial seperti keganasan, gangguan dan kemiskinan keluarga; menggalakkan keadilan sosial dan hak asasi manusia; serta mempromosi aspek kesihatan dan kesejahteraan semua orang. Pembangunan komuniti merupakan pendekatan bersifat psikologi yang dapat menggalakkan transformasi sosial melalui perubahan sikap dan tingkah laku bertanggungjawab; menggalakkan penyertaan rakyat untuk berpolitik; memperbaiki struktur sosial; mewujudkan peluang ekonomi, vokasional dan pendidikan; menyokong pembinaan keluarga dan para belia; membina semangat dan kesedaran komuniti; dan memupuk rasa sepunya dan kesalinghubungan. Dasar Sosial Negara (DSN) telah digubal pada tahun 2003 dengan menggariskan hampir 50 strategi bagi menjamin setiap individu, keluarga dan komuniti tanpa mengira kumpulan etnik, agama dan budaya dapat menikmati kesejahteraan hidup seiring dengan arus pembangunan negara. Beberapa akta turut dipinda dan digubal sebagai menunjukkan inisiatif untuk mewujudkan masyarakat sejahtera dan berkebajikan. Namun, petunjuk-petunjuk semasa menggambarkan situasi berbeza. Bilangan rumah kebajikan kanak-kanak dan jumlah penghuni masih tiada penurunan ketara. Begitu juga dengan kes keganasan rumah tangga, orang papa dan seumpamanya. Statistik ini menimbulkan persoalan terhadap keutuhan institusi keluarga dan nilai bermasyarakat serta sensitiviti agensi berwajib dalam menangani isu kebajikan dalam masyarakat. Artikel ini cuba membincangkan peranan masyarakat terhadap kehidupan kanak-kanak di rumah kebajikan dan kelestarian rumah kebajikan. Bagi tujuan ini pengkaji telah melakukan lebih daripada 70 lawatan ke Rumah Kebajikan Kanak-Kanak (Berkediaman – Persendirian/NGO). Ia melibatkan 35 buah institusi meliputi lapan buah daerah di Selangor. Perbincangan ini adalah berdasarkan data daripada borang soal selidik, temubual dan pemerhatian semasa lawatan. Temubual melibatkan pentadbir tertinggi institusi manakala pemantauan terhadap persekitaran institusi adalah secara tidak langsung melalui aktiviti sukarelawan di institusi. Cadangan-cadangan yang dikemukakan adalah terhad kepada peranan institusi pendidikan dan agensi kebajikan negeri.