Penginstitusian Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kaifiat Pengeluaran Hukum: Suatu Tinjauan Umum
Main Article Content
Abstract
Kombinasi peranan yang dimainkan oleh Raja-Raja Melayu dan para ulama adalah asas kepada penginstitusian Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia. Usaha tersebut pada awalnya bertujuan menangani ketidakseragaman hukum yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah negeri-negeri serta percanggahan fatwa di antara fatwa negeri-negeri Melayu. Kaifiat pengeluaran hukum pada peringkat awal penginstitusian tidak digariskan secara bertulis memandangkan kepercayaan yang tinggi terhadap keahlian dan keupayaan ahli jawatankuasanya. Akan tetapi, keahlian tersebut dilihat semakin berkurangan yang memerlukan kepada suatu garis panduan secara bertulis sebagai rujukan kepada ahli jawatankuasa dan penyelidik yang dilantik dalam penyelidikan sesuatu masalah Islam semasa. Artikel ini ditulis bertujuan menjelaskan tentang kombinasi peranan Raja-Raja Melayu dan para ulama dalam usaha menginstitusikan Majlis Fatwa Kebangsaan dan meninjau garis panduan yang dipakai oleh ahli jawatankuasa serta penyelidik dalam pengeluaran hukum Islam semasa. Kajian ini menggabungkan kajian perpustakaan dan lapangan di mana data-data dikutip melalui sumber-sumber bertulis dan temubual eksklusif dengan beberapa tokoh atau individu yang terlibat secara langsung dengan Majlis Fatwa Kebangsaan. Hasil kajian mendapati bahawa kombinasi mantap antara umara iaitu Raja-Raja Melayu dan ulama berjaya menginstitusikan majlis fatwa peringkat kebangsaan yang menyelesaikan banyak isu berkaitan hukum khususnya berkaitan masalah Islam semasa di negara ini. Sementara itu, kaifiat pengeluaran hukum pula dilihat masih terpelihara menurut mazhab al-Shafiʻi yang sedia menjadi anutan di negara ini akan tetapi memerlukan garis panduan bertulis yang jelas sebagai rujukan dalam penyelidikan.