Kekeliruan dalam Pengiklanan Tiket Penerbangan Secara Dalam Talian Analisis Perspektif Hukum Islam
Main Article Content
Abstract
Kemajuan sains dan teknologi telah memberikan kesan yang positif terhadap kehidupan manusia. Antaranya adalah dalam industri penerbangan yang merangkumi perkhidmatan jualan tiket dan layanan penumpang. Bagi meningkatkan persaingan dalam pemasaran tiket penerbangan, pelbagai teknik pengiklanan dengan berbagai jenis penawaran diwarwarkan bagi menarik perhatian pengguna. Ada tawaran yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada pengguna, umpamanya harga tersembunyi, tawaran yang terhad dan seumpamanya. Bentuk pengiklanan ini boleh memberi kesan terhadap transaksi yang akan dijalankan. Sehubungan itu, kajian ini membincangkan isu yang berkait rapat dengan kekeliruan dalam pengiklanan khususnya tiket penerbangan serta isu syariah yang terkait melalui transaksi tersebut. Bagi mencapai objektif tersebut, kajian kualitatif ini dilakukan dengan menggunakan pendekatan kajian kepustakaan dan kajian lapangan yang melibatkan temu bual pakar Syariah. Data yang dikumpulkan telah dianalisis kandungannya secara induktif bagi merumuskan dapatan kajian. Hasil kajian mendapati bahawa pengiklanan yang mengelirukan adalah dilarang Syarak, namun dari segi transaksi jual beli tiket di peringkat akhir adalah sah kerana ia melibatkan pengetahuan dan persetujuan pembeli terhadap harga akhir yang dimuktamadkan. Sehubungan itu, dalam pengiklanan tiket penerbangan, etika pengiklanan yang baik dan patuh syariah perlu diimplementasikan agar hak pengguna dapat dilindungi dengan sewajarnya.