Peranan Konteks Pendidikan Islam dalam Memacu Pendidikan Pembangunan Lestari di Malaysia
Main Article Content
Abstract
Penyelesaian destruktif alam sekitar perlu kepada pendekatan ofensif dan defensif. Pendidikan antara salah satu pendekatan ofensif yang serasi dengan norma kehidupan bermasyarakat. Pendidikan juga merupakan medium utama dalam merealisasikan agenda Pembangunan Lestari (Sustainable Development, SD) sehinggakan lahir beberapa idea di bawah agenda ini seperti Pendidikan Pembangunan Lestari (Education for Sustainbility Development, ESD), Dekad Pendidikan Pembangunan Lestari 2005-2014 (Decade of Education for Sustainable Development, DESD) dan Pendidikan Alam Sekitar (Environmental Education, EE). Kedua-duanya iaitu instrumen pendidikan dan agenda pembangunan lestari telah mendapat perhatian yang serius di peringkat global, serantau dan juga nasional apatah lagi dalam kaca mata Islam. Justeru itu, artikel ini meninjau bagaimana konteks Pendidikan Islam di peringkat sekolah berperanan sebagai agen manifestasi pembangunan lestari di Malaysia. Tinjauan awal ini mendedahkan bahawa terdapat beberapa peranan Pendidikan Islam yang menyumbang kepada pembentukan insan rabbani yang memacu kepada agenda pembangunan lestari. Artikel ini mencadangkan agar penyepaduan Pendidikan Islam dengan pendidikan alam sekitar di sekolah perlu kepada sistem pengintegrasian ilmu dan kemahiran yang jelas tanpa melakukan dikotomi ilmu secara tidak sedar.